Kisah Untuk Di Kongsi; Lobak, Telur dan Kopi
Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehdupan. Ia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.
Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Ia mengisi 3 periuk dengan air dan meletakkannya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk tersebut mendidih. Ia meletakkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur diperiuk kedua dan serbuk kopi di periuk terakhir. Ia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.
Setelah 20 minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan meletakkannya dimangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya. Lalu ia bertanya kepada anaknya, “Apa yang kau lihat, anakku?”
“Lobak, telur, dan kopi” jawab si anak.
Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Ia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras. Terakhir, ayahnya memintanya untuk meminum kopi. Ia tersenyum ketika minum kopi dengan aromanya yang khas.
Setelah itu, si anak bertanya, “Apa erti semua ini, Ayah?”
Ayahnya menerangkan bahawa ketiga-tiganya telah menghadapi kesulitan yang sama iaitu direbus dalam air yang mendidih, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cangkerang tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.
“Kamu termasuk yang mana?,” tanya ayahnya. “Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?”
Yang Mana Satu Peribadi Kita???
Apakah korang adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.
atau
Apakah korang adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah korang menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku?
atau
Apakah korang adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimal pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika korang seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, korang akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitar korang juga menjadi semakin baik.
P/S: Diubah atau Mengubah
Sirah di setiap Hari
Isnin
-Nabi Idris dinaikkan ke langit.
-Nabi Musa mengunjungi “Bukit Tursina”.
-Nabi Muhammad SAW dilahirkan.
-Wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
-Wafatnya Rasulullah SAW
Selasa
-Nabi Yahya wafat dibunuh.
-Nabi Zakaria wafat dibunuh.
-Tukang-tukang sihir Firaun ditewaskan.
-Asiah(Isteri Firaun), mangkat dibunuh.
-Habil membunuh Qabil.
Rabu
-Qarun hancur binasa.
-Firaun dan tenteranya ditenggelamkan.
-Raja Namrud ditewaskan oleh nyamuk.
-Umat Nabi Salleh dihancurkan dengan teriakan Malaikat Jibril.
-Umat Nabi Hud dimusnahkan Allah SWT dengan angin taufan.
Khamis
-Nabi Ibrahim memasuki mesir.
-Saudara-saudara Nabi Yusuf menemui baginda.
-Bunyamin mengunjungi Nabi Yusuf di mesir.
-Nabi Musa memasuki Mesir.
-Nabi Muhammad memasuki Mekah.
Jumaat
-Nabi Adam berkahwin dengan Hawa.
-Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha.
-Nabi Musa berkahwin dengan Siti Safura anak Nabi Syuib.
-Nabi Sulaiman berkahwin dengan Ratu Balqis.
-Rasulullah s.a.w berkahwin dengan Siti Khadijah dan Aishah.
-Ali Abu Talib berkahwin dengan Fatimah Az-Zahrah.
Sabtu
-Nabi Nuh diperolok oleh kaumnya.
-Nabi Salleh ditipu umatnya.
-Nabi Musa ditindas Firaun.
-Nabi Isa diperdaya kaum yahudi.
Ahad
-Allah s.w.t menjadikan alam,bintang,api neraka,bumi yang tujuh,lautan yang tujuh,anggota manusia yang tujuh,dan hari yang ketujuh.
Renungan:
“Sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf: 111).
P/S: Bermula daripada penciptaan Adam hingga hari ini, Hanya sedikit sirah yang aku ketahui…..
Kelebihan Puasa Arafah
Terdapat beberapa hadis yang sahih menggalakkan orang Islam yang tidak ke Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah. Di antara sabda Baginda bermaksud:
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Baginda bersabda: Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas.
(riwayat Muslim).
Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya. (riwayat Abu Daud, al-Nasie dan al-Tirmizi)
Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna penghapusan dosa bagi dua tahun berturut-turut.
Dua hadis di atas, jelas bahawa sunat kita berpuasa pada hari Arafah di dalam, Bab Puasa Sunat. Sebagai anak Adam kita tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar. Maka dengan adanya peluang sebegini adalah untuk manusia mengambil peluang bertaubat dan menginsafi diri.
Bagi mereka yang ingin mengqada puasa wajibnya, sekiranya dia berpuasa pada hari Arafah dengan niat qada, puasanya sah dan pada masa yang sama mendapat ganjaran yang dijanjikan dalam hadis di atas. Ini tidak bermaksud menangguhkan puasa wajib qada sehingga hari Arafah, ini kerana qada puasa wajib perlu disegerakan. Namun jika ada yang ingin mengqada tidaklah terlepas daripada ganjaran yang dijanjikan. Kerana yang wajib itu sifatnya kulliy dan sunat Arafah ialah juz’iy. apabila kulliy bertemu dengan juz’iy, maka juz’iy ikut sekali. Ini juga kerana adanya musaadafah bertemu yang wajib dengan sunat yang mempunyai fadilat, maka fadilat akan diperoleh oleh orang yang berpuasa pada hari Arafah.
Syaitan Dalam Hidup Manusia
Allah swt telah menyuruh kita menjadikan syaitan sebagai musuh. Firman Allah swt:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوّاً
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu)”, (6 : 35 al-Fatir)
Boleh kata semua manusia akan mengakui syaitan sebagai musuhnya. Namun tidak ramai yang mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi syaitan dan manakah ruang-ruang yang mana syaitan akan masuk pada diri insan. Ini adalah sebahgian dari ruang-ruang yang perlu seorang manusia tutup agar syaitan tidak memperdayanya.
SYAITAN BERMALAM DALAM HIDUNG
إذا استيقظ أحدكم من منامه فليستنثر ثلاث مرات فإن الشيطان يبيت على خياشيمه
“Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya hendaklah dia memasukkan dan mengeluarkan air dari hidungnya tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di dalam lubang hidungnya.”
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
SYAITAN KENCING DALAM DUA TELINGA
Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajud dan bangun ketika watu sudah subuh. Nabi saw bersabda:
ذاك الرجل بال الشيطان في أذنيه
“Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya.”
Hadis sahih Bukhari dan Muslim.
SYAITAN MASUK DALAM MULUT YANG TERBUKA/MENGUAP
إذا تثائب أحدكم فليمسك بيده على فيه فإن الشيطان يدخل
“Apabila seseorang menguap hendaklah dia menutup dengan tangannya. Sesungguhnhya syaitan masuk ke dalam mulutnya yang terbuka.”
Hadis sahih Muslim.
SYAITAN KETAWA MELIHAT MANUSIA YANG BERKATA “AAAAAH” SEMASA MENGUAP
Nabi saw bersabda:
ولا يقل آه آه فإن أحدكم إذا فتح فاه فإن الشيطان يضحك منه
“Dan janganlah seseorang itu berkata “aaaaaaaa” semasa menguap. Syaitan akan ketawa bila dia membuka mulut semasa menguap.”
Hadis riwayat Ahmad.
MEMAKI ORANG MEMBANTU SYAITAN UNTUK MEROSAKKAN MANUSIA
Seorang lelaki mencela seorang yang dikenakan hukuman sebat kerana minum arak. Nabi saw bersabda:
لا تقولوا هكذا لا تعينوا عليه الشيطان
“Janganlah kamu berkata sedemikian kepada orang yang dihukum. Janganlah kamu membantu merosakkan dia.”
Hadis sahih Bukhari.
Moral: Oleh itu janganlah kita memaki walaupun orang yang sudah jelas kesalahannya. Memaki hamun dalam apa jua keadaa adalah dilarang. Mudah-mudahanan maki hamun yang ada pada ceramah, dakwah, shoutbox dan sebagainya dapat dielakkan.
SYAITAN TIDAK MASUK RUMAH YANG DIBACA SURAH BAQARAH
Nabi saw bersabda:
لا تجعلوا بيوتكم مقابر فإن الشيطان ينفر من البيت الذي تقرأ فيه سورة البقرة
“Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca surah al-Baqarah.”
Hadis sahih Muslim
Faedah: Siapa yang baru masuk rumah atau rumahnya diganggu maka digalakkan utuk dibaca surah al-Baqarah beramai-ramai.
SYAITAN MAKAN DARI MAKANAN YANG TIDAK DIBACA BISMILLAH DAN BERMALAM PADA RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI DENGAN BISMILLAH
إذا دخل الرجل بيته فذكر الله عند دخوله وعند طعامه قال الشيطان : لا مبيت لكم ولا عشاء وإذا دخل فلم يذكر الله عند دخوله قال الشيطان : أدركتم المبيت وإذا لم يذكر الله عند طعامه قال : أدركتم المبيت والعشاء
“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya dan menyebut nama Allah semasa masuk dan menyebut nama Allah semasa makan. Syaitan akan berkata kepada konco-konconya “Kamu tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam.” Apabila dia masuk kerumahnya tanpa menyebut nama Allah syaitan akan berkata “Kamu semua mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak menyebut nama Allah semasa makan, syaitan akan berkata “Kamu mendapat makan malam dan tempat bermalam.”
Hadis sahih Muslim (2018).
MAKANAN JATUH YANG DIBIARKAN ADALAH HABUAN SYAITAN
إذا سقطت لقمة أحدكم فليمط عنها الأذى وليأكلها ولا يدعها للشيطان
“Apabila jatuh sebahgian suapan makanan kamu. Hendaklah kamu buang kotoran yang melekat pada makanan dan hendaklah dia makan. Jangan biarkan ia dibiarkan untuk dimakan oleh syaitan.”
Hadis sahih Muslim (2034)
SYAITAN PENGGANGGU SOLAT
Suatu hari Amru bin abi al-As mengadu Rasulullah saw:
“Ya Rasulullah sesungguhnya syaitan telah mengganggu ku solat dan menimbulkan was-was dalam bacaanku.”
Rasulullah saw pun menjawab:
ذاك شيطان يقال له خنزب فإذا أحسسته فتعوذ بالله واتفل على يسارك ثلاثا
“Itulah syaitan yang dipanggil khinzab. Apabila engkau merasai gangguannya hendaklah engkau minta perlindungan dari Allah dan ludah ke kirimu tiga kali.”
Amru berkata:
“Aku melakukan apa yang Rasulullah sarankan, lalu Allah menghilangkan segala gangguan syaitan tersebut.”
Hadis sahih Muslim.
MINUM BERDIRI BERSAMA SYAITAN
Nabi saw bertanya kepada orang yang minum berdiri:
“Adakah engkau suka minum bersama dengan kucing?”
Dia menjawab “Tidak”
Nabi saw bersabda:
قد شرب معك من هو شر منه الشيطان
“Sesungguhnya kamu telah minum dengan mahkluk yang lebih teruk dari kucing iaitu syaitan.”
Hadis Ahmad –sahih.
SYAITAN SEMAKIN BESAR BILA DIMAKI
Seorang sahabat Nabi saw telah memaki syaitan apabila binatang tunggangannya terjatuh. Nabi saw bersabda:
لا تقل تعس الشيطان فإنك إذا قلت ذلك تعاظم حتى يكون مثل البيت ويقول : بقوتي ولكن قل : بسم الله فإنك إذا قلت ذلك تصاغر حتى يكون كالذباب
“Janganlah kamu berkata “Celaka syaitan”. Kalau kamu berkata begitu syaitan akan berasa besar diri seperti rumah dan berkata “mendapat kekuatan ku”, tapi hendaklah kamu berkata “Dengan nama Allah”. Apabila berkata sedemikian syaitan akan jadi hina sehingga seperti lalat.”
Hadis Abu daud (4982) – sanad sahih
PENUTUP
Terdapat ratusan lagi ruang-ruang syaitan utk memperdaya manusia seperti yang Nabi saw masuk kepada manusia. Ini adalah sebahgian yang saya sempat tulis. Ingatlah bahawa syaitan akan cuba menyesatkan manusia selagi nyawa manusia itu dikandung badannya.
Rasulullah saw bersabda:
إن الشيطان قال : وعزتك يا رب لا أبرح أغوي عبادك ما دامت أرواحهم في أجسادهم. قال الرب : وعزتي وجلالي لا أزال أغفر لهم ما استغفروني
“Sesungguhnya syaitan berkata “Demi kemulianmu hai tuhan. Aku akan sentiasa menyesatkan hamba-hambamu selagi mana nyawa berada di tubuh mereka.” Tuhan menjawab “Demi kemulian dan keagunganku aku akan sentiasa mengampunkan mereka selagimana mereka meminta ampun kepadaku.”
Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan
Rujukan: Al-Idoh wat Tabyin oleh Muhammad Abdullah al-Imam.
Sumberku: Salin & Tampal daripada abyrad.blogspot.com
Gambaran Alam Mahsyar
- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain..Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
- Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
- Pemimpin yang adil.
- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
- Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.
- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
- Syafaat Nabi Muhammad s.a..w. di akhirat :
- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
- Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
- Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
- Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
- Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
- Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
P/S: Hidup didunia ibaratnya hanya setengah hari di Akhirat. Rebut masa yang sedikit dengan amal ibadah..
Mengapa aku perlu beribadah…
- Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56). Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.
- Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma. Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong bukan?. Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.
- Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi… ” (Al-Quran, surah al-A’raaf:172)
- Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita. Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut… ” (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)
- Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.
- Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat).” (Al-Quran, surah al-An’am: 15)
P/S: Pastikan diri lebih bersedia dengan ilmu didada bila ingin berhujah dan membela agama sendiri…
4 Tingkat Bersuci
Bersuci tidak hanya bererti membersihkan anggota tubuh dengan air semata-mata. Ia membawa maksud yang lebih mendalam.
Imam Al-Ghazali R.A meletakkan bersuci kepada 4 tingkat / tahap iaitu;
- Menyucikan anggota-anggota zahir daripada hadas, anasir-anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu.
- Menyucikan anggota badan daripada perbuatan salah dan dosa.
- Menyucikan hati daripada sifat dan akhlak terkeji dan kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
- Menyucikan batin daripada semua perkara selain daripada Allah. SWT (Mencintai Allah melebihi yang lain)
Seseorang tidak akan mencapai ke tingkat dan tahap yang tertinggi tanpa melalui tahap yang lebih rendah terlebih dahulu. Dia tidak akan sampai ke tahap menyucikan kebatinan daripada sifat terkeji dan menggantikannya dengan sifat terpuji, selagi belum selesai membersihkan hati daripada akhlak yang tercela dan menggantikannya dengan akhlak terpuji.
Begitu juga ia tidak akan sampai ke tahap membersihkan hati sekiranya ia belum selesai menyucikan anggota badan daripada larangan-larangan Allah SWT, dan menggantikannya dengan kerja-kerja ketaatan.
P/S : Buat kerja kena ikut manual. Buat sikit-sikit, pelan-pelan, step by step… Insya’Allah hasilnya akan memuaskan hati-hati yang memberi kepercayaan dan harapan.
Ramadhan dan Perubahan
Kedatangan Bulan Ramadhan biasanya memberikan banyak perubahan dalam rutin harian seorang Muslim yang Mu’min. Bagi yang hanya berpuasa pada bulan Ramadhan, awal hadirnya ibadah puasa itu umpama sesuatu bebanan yang cukup sukar untuk dipikul. Selepas makan dan minum berterusan selama 11 bulan yang lalu, kena berpuasa untuk sebulan yang berikutnya. Cukup berbeza dengan Muslim yang membiasakan diri dengan puasa sunat, yang menghadapi Ramadhan dengan lebih bersedia. Fizikal dan Mental.
Hari dibulan Ramadhan dimulakan dengan bangun untuk bersahur seawal jam 3.00 pagi malah ada lebih awal daripada itu. Jika ditanya mengapa perlu bersahur? Jawapan mudah yang biasa didengari adalah untuk mengelakkan terlalu lapar pada siang hari. Sebab itu ada jugak yang makan sebelum masuk tidur dan tidak bangun sahur. Mungkin mereka tidak mengetahui bahawa sahur adalah waktu yang sangat sesuai untuk mendekatkan diri dan bertaubat kepada Allah. Kerana waktu sepertiga malam terakhir adalah waktu Allah Taala turun ke langit dunia dan berfirman, “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku akan menyahutnya. Dan sesiapa yang meminta kepadaKu, nescaya Aku akan menunaikannya. Dan sesiapa yang meminta ampun kepadaKu, nescaya Aku mengampuninya”. (Sahih Bukhari dan Muslim).
Selain itu, Ramai yang mengambil peluang bangun diawal pagi untuk mendirikan Qiamullail sebelum bersahur. Masa time sekolah menengah dulu, pernah dengar Senior cakap yang Qiamullail ni wajib bagi tiap orang Islam sekali dalam seumur hidup. Walaupun kenyataan tidak begitu kan. Qiamullail itu hanya wajib bagi Rasulullah SAW (Baginda bangun bertahajjud kepada Allah setiap malam). Selepas sahur, bergegas pula menyiapkan diri untuk solat Subuh berjemaah sama ada di rumah dan di masjid @ surau. Sebelum ini tiang-tiang masjid / surau dan sejadah yang banyak melebihi jumlah jemaahnya. Kemeriahan suasana solat subuh berjemaah di Masjid dan Surau seperti ini lah yang digeruni oleh Musuh-musuh Islam. Umat Islam yang sanggup bangun awal dan berjalan ke Masjid itu mempunyai daya juang yang cukup tinggi. Benar bukan senang untuk menjadi orang yang terpilih untuk berada di Baitullah ketika orang lain masih lagi membaluti diri dengan selimut ditengah dingin suasana pagi..
Kehadiran Ramadhan juga memberikan lebih banyak masa terluang kepada setiap Muslim. Khususnya tidak perlu meluangkan masa untuk sarapan, makan tengah hari n minum petang. Alangkah baiknya jika masa tersebut di isikan dengan membaca Al-Qur’an, Menghadiri kuliah-kuliah subuh dan zuhur.Ayat Al-Qur’an tidak banyak mana pun untuk dihabiskan bacaan nya (khatam) pada bulan Ramadhan. Disiplinkan diri untuk membaca 1 Juzuk untuk 1 hari (30 Juzuk khatam untuk 30 hari Puasa). 1 Juzuk mempunyai lebih kurang 10 lembaran @ 20 muka surat. Bahagikannya untuk 5 waktu solat (2 lembaran @ 4 muka surat). Masa yang diambil pun dalam 10 minit. Lebih sekejap berbanding duduk menghadap komputer main fb, twitter, blog, youtube dsb.
Selain itu sebelum ini, telinga kita selalu disajikan dengan lagu-lagu yang jiwa2, metal dan rock stedy bilang c Yazer. Bulan Ramadhan, alunan merdu zikrullah dan kalamullah yang sepatutnya menjadi halwa telinga. Mendengar nya pasti akan menenangkan hati yang gundah disamping memperoleh limpahan pahala daripada Allah SWT.
Umat Islam juga menjadi sensitif pada bulan Ramadhan. Rumah anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz rumah-rumah kebajikan biasanya menjadi tumpuan. Dijamu dengan hidangan berbuka puasa dihotel-hotel mewah. Dihulurkan bantuan berupa wang tunai dan kelengkapan untuk meraikan hari lebaran. Pihak penguatkuasa Agama, bertindak menangkap orang-orang Islam yang tidak berpuasa dan berkelakuan tidak senonoh di bulan Ramadhan. Untuk menghormati kesucian Bulan Ramadhan katanya. Diharapkan selepas Ramadhan, aktiviti penguatkuasaan untuk mengesan setiap orang islam yang melakukan perbuatan yang melanggar syariah akan diteruskan.
Sebulan Ramadhan itu bukan lah satu tempoh masa yang singkat. Jika kita ingin berubah, berubah lah bermula Ramadhan ini. Istiqamah, keazaman, dan keikhlasan dalam beribadah yang di pupuk pada bulan Ramadhan ini harus dipraktikkan pada bulan-bulan yang seterusnya. Dengan itu, tarbiyyah daripada madrasah Ramadhan itu akan lebih berkesan untuk membentuk kita menjadi seorang muslim, mu’min n muttaqin yang unggul. Ingat dan sedar selalu bahawa, segala bentuk ibadah dalam bulan Ramadhan sama ada puasa, sahur, qiamullail, zakat, solat berjemaah, i’tikaf di masjid @ surau, tadarus n tilawah Al-Qur’an adalah wajah ibadah sebenar yang perlu diamalkan oleh kita sehari-hari. Wallahu A’lam.
P/S: Hari ni sudah 10 Ramadhan. Fasa Rahmah sudah sampai penghujung. Semoga kita mendapat Kasih Sayang Allah SWT. Bersiap sedia untuk menempuh Fasa Maghfirah dan Fasa Merdeka daripada Api Neraka. Amin.
Hak Milik: Apa Yang Engkau Perolehi Selepas Memberi
“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti bijih benih yang menerbitkan tujuh tangkai. tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya” (Al-Baqarah: 261)
Ikuti analogi ini:
Anda mempunyai wang dalam dompet sebanyak RM 100.00. Anda merancang untuk menggunakannya untuk membeli baju baru, seluar, relod hp, minyak keta, belanja awek makan KFC dan sebagainya. RM 100.00 itu adalah bajet untuk semua belanja yang telah disebutkan. Belum sempat masuk kedai dkt Centre Point, azan Zuhur berkumandang. Mahu atau tidak kena pg solat dsurau dekat tingkat 3. Selepas solat anda melihat orang lain berganti-ganti menderma didalam tabung surau. Hati pun terdetik juga, untuk menghulurkan derma. Duit di dompet ada RM 10 x 10 keping = RM 100.00. Tapi nafsu menegah… “Jangan.. Nda cukup nanti untuk tampung belanja mu. Lain kali la. Atau kau pg kasi pecah tu duit, baru datang balik n derma RM 0.50 jak”…
Dalam situasi diatas, saya dan anda pasti akan mengatakan “Ya betul dengan menderma sekarang, ia akan mengurangkan belanja-belanja ku yang lain”. Miliki duit RM 100.00 dan derma walau RM 1.00. Tinggal RM 99.00 yang ada. Terpaksa ada belanja yang perlu dikurangkan. Beli baju yang murah sikit, isi minyak kurang sikit, makan KFC pun tpaksa ambik set Snack Plate sedangkan makan nya berdua, dsb. Nilainya wang itu hanya pada fizikal apa yang dilihat.
Tetapi cuba renungkan firman Allah SWT dalam ayat dipermulaan entry ini. Difahami dengan jelas dengan keikhlasan membelanjakan harta kejalan Allah sama ada derma @ zakat, ianya sama sekali tidak akan mengurangkan apa yang kita miliki. Setiap unit harta yang kita infakkan, akan digandakan sebanyak 700x ganda. Masya Allah, banyak nya.Berkerja sampai pencen, Simpan duit dekat bank, ikut program MLM, Skim Cepat Kaya, dsb tidak akan memberikan pulangan selumayan tawaran Allah SWT.
Bayangkan dengan menderma RM10.00 ditabung masjid pada setiap hari jumaat akan menghasilkan RM 28,000.00 ganjaran disisi Allah SWT sebulan atau RM 336,000.00 setahun. Banyak kan. Melebihi gaji menteri. Derma RM 1 sebulan pun, akan menghasilkan RM 8,400.00 setahun. Derma 1 Kilo beras, akan dibalas dengan ganjaran umpamanya 700 Kilo beras. Percaya atau tidak. Ada yang ragu, kerana tidak pernah n jarang sekali meyakini Allah SWT. Yakinilah bahawa Allah akan menggantikan sesuatu yang kita infakkan kejalan-Nya dengan sesuatu yang lebih baik dan lebih banyak dan inilah yang disebut sebagai keberkatan.
Dalam kehidupan mencari rezeki, apa yang perlu diutamakan adalah berkat. Ada orang yang bergaji sekadar cukup makan, tapi dapat menampung semua keperluan seharian dengan hati yang senang. Sementara ada pula yang bergaji ribu-ribuan, berkereta mahal-mahalan, berumah besar-besaran, beristeri madu-maduan, tetapi masih merasakan tidak cukup dengan apa yang dimiliki. Ibaratnya bila rezeki berkat “Sedikitnya mencukupi, Banyak boleh di bahagi-bahagikan”. Bila rezeki tidak berkat pula “Sedikit tidak mencukupi, Banyaknya tidak pernah puas’.
Renungkan juga ungkapan oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah “Harta yang menjadi milik kamu adalah apa yang kamu belanjakan di jalan Allah SWT”. Yang memberikan kefahaman kepada kita bahawa Rezeki itu bukan sesuatu yang kita terima, tetapi apa yang kita beri. Wallahu A’lam.
Sumberku: Petik dan Edit daripada Majalah Solusi, Isu No. 3 Terbitan Telaga Biru
P/S : Beramal dibulan Ramadhan. Ganjaran melebihi apa yang dijangka.
Seloka Marhaban Duhai Ramadhan
Sirna senja di mega Shaaban
Menyambut tetamu bulan Ramadhan
Berbuah tangan sejuta tawaran
Belas kasih Tuhan yang Rahman
Setiap amal diganda kurniaan
Setiap huruf berlipat balasan
Syaitan terbelenggu berkurang peranan
Tinggal nafsu menanti latihan
Hajat dan keinginan dikekang ditahan
Seperti haiwan dalam kurungan
Perlu dijinak dengan al-Quran
Bersama zikir hati dan lisan
Bersahur jangan diawal-awalkan
Berbuka pula jangan lewatkan
Beragama jangan melampaui suruhan
Atau dikurang dan ringan-ringankan
Bersedekah bertilawah tadabbur al-Furqan
Hiasan Ramadhan jangan abaikan
Hasut bermusuhan dibalas jangan
“Aku berpuasa” slogan kemenangan
Berjamu selera jimat-jimatkan
Makan sekadar menurut keperluan
Gaza kelaparan jangan dilupakan
Banjir Pakistan jangan disepikan
Qiyam Ramadhan jangan ketinggalan
Solat Fardhu paling diutamakan
Jaga telinga jaga penglihatan
Bersih diri, hati dan keimanan
Andai ini Ramadhan perpisahan
Pulanglah dengan sejuta keampunan
Buat yang terbaik jadikan keazaman
Bersama-sama kita doakan…
Sumberku: http://saifulislam.com/?p=8415
P/S: Keluar dari madrasah Ramadhan nanti biarlah dalam keadaan yang lebih baik dari sebelumnya.







